GENEVA, 31 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China untuk berkongsi data dan memberi akses bagi memahami asal usul COVID-19, lima tahun selepas pandemik itu melanda dunia.
Pandemik tersebut telah meragut jutaan nyawa, melumpuhkan ekonomi, dan memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan global.
"Kami terus menyeru China untuk berkongsi data dan memberikan akses supaya kami dapat memahami asal-usul COVID-19. Ini adalah satu keperluan moral dan saintifik," menurut kenyataan WHO.
WHO turut menegaskan bahawa tanpa ketelusan, perkongsian, dan kerjasama antara negara, dunia tidak akan dapat mencegah dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi wabak dan pandemik pada masa hadapan.
WHO mengenang kembali peristiwa pada 31 Disember 2019 apabila pejabat negaranya di China menerima makluman daripada pihak berkuasa kesihatan Wuhan mengenai kes radang paru-paru yang dikesan di bandar tersebut.
"Dalam minggu, bulan, dan tahun yang berlalu sejak itu, COVID-19 telah mengubah kehidupan di dunia ini.
"Ketika kita memperingati peristiwa penting ini, marilah kita mengenang mereka yang menderita akibat COVID-19 dan Long Covid (COVID berpanjangan), menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang menjaga kita, dan belajar daripada COVID-19 demi membina masa depan yang lebih sihat," menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu itu. - AFP