NAIROBI, 31 Disember- Sekurang-kurangnya 71 orang maut selepas sebuah kenderaan yang membawa rombongan perkahwinan terbabas ke dalam sungai di selatan Ethiopia, kata seorang pegawai tempatan.
Lori itu terbabas ke dalam sungai kira-kira 300 kilometer di selatan ibu kota Addis Ababa, Sidama, pada Ahad lalu.
Pegawai Jabatan Komunikasi Serantau, Wossenyeleh Simon, berkata sungai tersebut penuh dengan batu besar, menyebabkan kebanyakan penumpang, termasuk pemandu, maut akibat hentakan.
"Antara yang maut adalah empat orang daripada keluarga yang sama," katanya kepada AFP.
Simon berkata kakitangan hospital berhampiran telah membantu mengeluarkan mayat mangsa serta turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terselamat.
Katanya, pemandu lori yang membawa 76 penumpang itu hilang kawalan ketika cuba membelok di selekoh tajam.
"Kemungkinan lori tersebut membawa muatan melebihi kapasiti kerana kekurangan kenderaan penumpang yang beroperasi pada hari tersebut," katanya lagi.
Daripada lima individu yang terselamat, dua mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di Hospital Rujukan Hawassa.
Tambahnya, tiga mangsa telah dibenarkan keluar, walaupun masih mengalami kejutan psikologi. - AFP