GENEVA, 18 November - Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) memberi amaran bahawa rokok elektronik, (vape) yang berperisa gula-gula antara produk baharu yang menyasarkan golongan muda, sekaligus menjadi penyumbang ketagihan tembakau dan nikotin terhadap golongan berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika berucap pada pembukaan Persidangan Antarabangsa Mengenai Kawalan Tembakau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara penggunaan produk berkenaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
"Sekolah kini menjadi barisan hadapan dalam menangani isu tembakau dan nikotin. Golongan kanak-kanak dan remaja sangat terdedah dan mudah terpengaruh dengan penggunaan vape tanpa mengetahui kesan negatif.
"Data daripada 63 negara menunjukkan kadar penggunaan vape dalam kalangan remaja secara purata sembilan kali lebih tinggi berbanding individu dewasa,"katanya.
Menerusi laporan WHO yang dikeluarkan bulan lepas memaklumkan, hampir 15 juta remaja di seluruh dunia merupakan pengguna vape, manakala penggunaan tembakau dalam kalangan belia berkurangan satu pertiga dalam tempoh 20 tahun.
Justeru, semua negara disaran untuk terus mengawal selia penggunaan nikotin, rokok elektronik juga tembakau.
Beliau dalam masa sama mengalu-alukan tindakan beberapa negara yang telah mengharamkan produk berkenaan serta menyarankan negara-negara lain turut mengenakan kawalan ketat terhadap perisa, pembungkusan, pemasaran serta penguatkuasaan had umur daripada campur tangan industri. - AFP