COPENHAGEN, 17 November - Beberapa laman sesawang parti politik Denmark pada Isnin menjadi sasaran serangan siber yang didakwa dilakukan oleh penggodam pro-Rusia menjelang pilihan raya tempatan negara itu.
Laman sesawang Parti Konservatif dan Perikatan Merah-Hijau dilaporkan tidak dapat diakses seketika pada pagi Isnin, menurut seorang wartawan AFP.
Copenhagen Post, sebuah akhbar dalam talian yang melaporkan berita Denmark dalam bahasa Inggeris, turut terjejas dalam serangan tersebut.
“Pembaca yang dihormati, laman sesawang kami kini tidak dapat diakses dan memaparkan mesej ralat '502 – Bad Gateway',” tulisnya di Instagram.
“Kami dimaklumkan oleh Perkhidmatan Perisikan Pertahanan Denmark bahawa punca kemungkinan adalah serangan DDoS (Distributed Denial of Service), dengan liputan kami mengenai pilihan raya tempatan 18 November menjadikan kami sasaran", maklumnya.
Serangan DDoS menghentikan akses ke sesebuah laman sesawang dengan membebankan pelayan laman tersebut dengan trafik yang banyak.
Kumpulan penggodam pro-Rusia, NoName057(16), mendakwa di media sosial bahawa mereka menyasarkan laman sesawang beberapa parti politik Denmark dan penyiar awam DR.
Minggu lalu, kumpulan yang sama mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan siber terhadap beberapa majlis tempatan, laman sesawang kerajaan dan sebuah syarikat pertahanan Denmark. - AFP