DHAKA, 17 November - Bangladesh pada Isnin menuntut India mengekstradisi bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina, beberapa jam selepas beliau dijatuhkan hukuman gantung.
Pemimpin berusia 78 tahun itu melarikan diri ke India selepas digulingkan dalam pemberontakan besar-besaran pada Ogos 2024, sekali gus menimbulkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara jiran itu.
Hasina dilaporkan berada dalam perlindungan kerajaan India sejak itu.
“Kami mendesak kerajaan India untuk segera mengekstradisi kedua-dua pesalah ini kepada pihak berkuasa Bangladesh,” kata kementerian luar Bangladesh dalam satu kenyataan.
Kementerian berkenaan turut menegaskan bahawa ia adalah tanggungjawab wajib India.
Bangladesh turut memberi amaran bahawa “memberi suaka kepada Sheikh Hasina akan dianggap sangat tidak mesra dan mencemar keadilan.”
Sementara itu, Kementerian Luar India pula berkata bahawa mereka mengambil maklum keputusan mahkamah terhadap Hasina.
Tahun lalu, Bangladesh berkata ia akan memohon notis merah Interpol bagi Hasina. Namun tiada rekod mengenai beliau dalam senarai badan polis global itu.
Dalam pada itu, Pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, menyambut baik keputusan mahkamah itu.
“Keputusan menjatuhkan hukuman mati terhadap Sheikh Hasina dan Asaduzzaman Khan Kamal dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan adalah satu keputusan bersejarah,” kata pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu dalam kenyataan.
Beliau menyeru ketenangan dan memberi amaran terhadap sebarang “percubaan melanggar ketenteraman awam”, sambil menggesa “semua pihak tidak melakukan sebarang tindakan tidak berdisiplin.- AFP