fb fb fb fb fb

WHO bimbang pelan Israel duduki sepenuhnya bandar Gaza

Tedros Adhanom Ghebreyesus/Foto Reuters

LONDON, 11 Ogos - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad menyuarakan kebimbangan terhadap pelan Israel untuk menduduki Bandar Gaza, sambil memberi amaran bahawa keadaan di wilayah yang dikepung itu 'sudah pun kritikal' lapor Anadolu Ajansi.

“Pelan Israel untuk memperluas operasi ketenteraan di Gaza amat membimbangkan, memandangkan situasi kemanusiaan dan kesihatan di seluruh wilayah itu sudah pun kritikal,” katanya di platform X.

Beliau memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan selanjutnya boleh menyebabkan lebih ramai kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan dan ketiadaan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Kami sekali lagi menggesa akses segera tanpa halangan dan dipertingkatkan kepada bantuan makanan dan kesihatan, pembebasan semua tawanan, serta gencatan senjata berkekalan,” kata Ghebreyesus.

Pada Jumaat, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan pelan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk menduduki sepenuhnya Bandar Gaza, sekali gus mencetuskan kecaman hebat antarabangsa daripada kerajaan-kerajaan asing dan badan hak asasi manusia.

Israel berdepan kemarahan yang semakin memuncak berhubung perang berdarahnya di Gaza, yang meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023.

Kempen ketenteraan memusnahkan wilayah berkenaan dan mendorongnya ke ambang kebuluran.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah itu.-BERNAMA/ANADOLU

ASHRIQ FAHMY AHMAD