ISTANBUL, 11 Ogos - Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda barat Turkiye lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) memaklumkan gempa berpusat di daerah Sindirgi, wilayah Balikesir dan gegaran dikesan pada kedalaman 11 kilometer.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, seorang lelaki berusia 81 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari bangunan runtuh.
Seramai 29 lagi mangsa cedera turut diselamatkan dan tiada yang berada dalam keadaan kritikal.
Penilaian awal menunjukkan 16 bangunan di 68 kejiranan runtuh akibat gempa dan gegaran susulan.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terjejas, sambil menegaskan beliau akan memantau rapat perkembangan selepas bencana itu.-BERNAMA/ANADOLU