fb fb fb fb fb

WHO beri amaran penularan taun di Lubnan

FOTO REUTERS

BEIRUT, 1 November- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung penularan wabak taun yang merebak dengan pantas di seluruh Lubnan.

Penularan taun adalah yang pertama di Lubnan sejak beberapa dekad bermula pada awal Oktober lepas.

Wakil WHO di Lubnan, Abdinasir Abu bakar, berkata keadaan di negara itu kini rapuh susulan bergelut dengan krisis lain termasuk daripada sudut ekonomi dan politik yang tidak stabil.

"Terdapat 381 kes telah disahkan dan 17 kematian dilaporkan di Lubnan sejak 5 Oktober lepas selain lebih 14,000 kes yang kini dalam saringan," kata WHO dalam kenyataannya.

WHO tampil menghulurkan bantuan kepada Lubnan dengan pemberian 600,000 dos vaksin, selain berusaha mendapatkan lebih banyak lagi bekalan susulan penularan berlaku dengan amat pantas.

Taun biasanya dijangkiti daripada makanan atau air tercemar menyebabkan cirit-birit dan muntah.


(FOTO AFP)

Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penularan taun di Lubnan menyusuli gelombang di Syria baru-baru ini, yang berpunca akibat kerosakan hampir dua pertiga loji rawatan air, sebahagian stesen pam dan satu pertiga menara air akibat peperangan.

Lubnan menempatkan lebih sejuta pelarian Syria, kebanyakan mereka sudah dilanda kemiskinan sebelum kejatuhan ekonomi Lubnan sejak tiga tahun lalu.

Menurut WHO, taun boleh membunuh dalam tempoh beberapa jika tidak dirawat tetapi ramai yang dijangkiti hanya menunjukkan gejala ringan atau tiada gejala.

Pada peringkat global, taun menjangkiti antara 1.3 juta hingga empat juta orang setiap tahun, membunuh antara 21,000 hingga 143,000 mangsa. - AFP

 

Media Baharu