fb fb fb fb fb

Penduduk Kashmir lega pengumuman gencatan senjata India-Pakistan

Rakyat Pakistan meraikan pengumuman gencatan senjata antara Pakistan dan India, di Hyderabad/ AFP

KASHMIR, 10 Mei- Penduduk di wilayah yang dipertikaikan Kashmir, menyatakan kelegaan masing-masing susulan pengumuman perjanjian gencatan senjata serta-merta antara India dan Pakistan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengumumkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju untuk melaksanakan "gencatan senjata sepenuhnya dan serta-merta".

Ia selepas empat hari kedua-dua negara berkenaan berbalas serangan ke atas kemudahan awam dan ketenteraan.

Beberapa penduduk kampung di Kupwara, Kashmir berkata mereka pertama kali mengetahui mengenai perjanjian tersebut melalui pengumuman oleh Presiden AS.

Penduduk Kupwara, Anas Khan berkata, pengumuman gencatan senjata diketahui daripada pengumuman Donal Trump.

"Kami mendapat tahu menerusi twit Donald Trump. Kami gembira apabila mengetahui perkara ini, dan ia merupakan perkara yang baik.

"Tiada sesiapa yang mahukan peperangan. Tiada penyelesaian boleh dilakukan dengan peperangan. Ia perlu dilakukan menerusi dialog. Perbincangan dan dialog adalah satu-satunya cara untuk mencari penyelesaian," katanya.

Sementara itu Nazram Ali menyatakan rasa gembira dengan pengumuman gencatan senjata tersebut.

"Kami sangat gembira selepas mendengar berita itu. Kami menghadapi banyak masalah dalam tempoh ketegangan akibat serangan tembakan rentas sempadan. Seluruh kampung menjadi tegang dan bermasalah.

"Semua individu termasuk kanak-kanak hingga orang tua berada di kediaman masing-masing, bahkan ada yang berpindah. Masing-masing ketakutan berikutan serangan itu. Kami sangat gembira kerana pengumuman gencatan senjata," katanya.

Kementerian Luar Pakistan turut mengesahkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata "berkuat kuasa serta-merta".

Manakala Kementerian Luar India menyatakan pelaksanaan gencatan senjata itu bermula pada pukul 5.00 petang waktu India.

Pengumuman mengejut itu dibuat berikutan kebimbangan meningkat terhadap kemungkinan penggunaan senjata nuklear kedua-dua negara, selepas tentera Pakistan memaklumkan bahawa badan tertinggi ketenteraan yang memantau senjata nuklear negara itu akan bermesyuarat dalam masa terdekat.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI