fb fb fb fb fb

India-Pakistan setuju laksana gencatan senjata - Setiausaha Negara AS

Tangkap layar hantaran X, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio

WASHINGTON, 10 Mei- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio mengesahkan bahawa India dan Pakistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta.

Rubio menerusi hantaran X memaklumkan bahawa kedua-dua negara akan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di sebuah lokasi berkecuali.

"Sejak 48 jam yang lalu, @VPVance dan saya telah terlibat dengan pegawai kanan India dan Pakistan, termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi; Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif; Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar; Panglima Tentera Darat Pakistan Asim Munir, dan Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval dan Penasihat Keselamatan Negara Pakistan Asim Malik.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan India dan Pakistan bersetuju untuk memulakan gencatan senjata. Kami memuji tindakan Perdana Menteri India dan Perdana Menteri Pakistan atas kebijaksanaan dan kenegaraan mereka untuk memilih jalan damai," menurut hantaran itu.

Kuasa-kuasa besar dunia sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan mendadak ketegangan antara India dan Pakistan.

Perkara itu susulan India melancarkan serangan udara dan peluru berpandu ke atas Pakistan pada Rabu.

Sejak itu kedua-dua negara saling berbalas serangan, termasuk menyasarkan kemudahan ketenteraan masing-masing pada Sabtu.

Berikutan kejadian itu puluhan nyawa telah terkorban.

Amerika Syarikat menerusi Rubio, telah mengadakan perbincangan dengan India dan Pakistan sejak akhir April, dan menyeru kedua-dua pihak agar mencari penyelesaian diplomatik.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI