fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 kanak-kanak Gaza diambang maut kebuluran

Kira-kira 3,500 kanak-kanak berusia bawah lima tahun kini berisiko maut akibat kebuluran yang semakin memburuk/Foto Human Right

GAZA, 10 Mei — Lebih 3,000 kanak-kanak di Gaza berisiko maut akibat kekurangan zat makanan susulan sekatan berterusan rejim Zionis Israel terhadap kemasukan bekalan dan bantuan kemanusiaan sejak lebih dua bulan lalu.

Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini melaporkan kira-kira 3,500 kanak-kanak berusia bawah lima tahun kini berisiko maut akibat kebuluran yang semakin memburuk.

"Ketika berada di selatan Gaza, makanan, air, sayur dan buah-buahan masih boleh didapati, walaupun harganya mahal. Kami masih mampu memberinya makan dengan baik.

"Tetapi bila kami kembali ke utara, langsung tiada apa-apa di pasaran, tiada sayur, tiada buah. Anak saya perlukan makanan khas. Saya langsung tiada apa untuk diberi kepadanya," kata Mus'ab al-Sheikh Khalil.

"Hampir 3,000 kanak-kanak kekurangan zat sedang menerima rawatan di bawah program rawatan malnutrisi. Mereka dibekalkan makanan tambahan seperti biskut berkalori tinggi dan mentega kacang tinggi tenaga.

"Namun disebabkan situasi semasa, bekalan ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan semua kanak-kanak ini," kata Pakar Pemakanan Terapeutik, Susan Maarouf.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula berkata lebih 9,000 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital sejak awal tahun ini akibat kekurangan zat makanan yang serius.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan seramai 57 kanak-kanak Palestin meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan setakat awal Mei lalu.

Sehingga kini, serangan udara dan darat yang dilancarkan tentera Israel telah mengorbankan lebih 52,760 rakyat Palestin dan mencederakan 119,264 orang. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN