BARCELONA, 10 Mei- Pihak berkuasa Sepanyol menarik semula perintah berkurung yang dikenakan ke atas kira-kira 160,000 penduduk di wilayah timur laut Catalonia.
Menurut kenyataan wilayah timur laut Catalonia, perkara itu susulan kebakaran di sebuah kawasan perindustrian menyebabkan pembentukan awan beracun mengandungi gas klorin.
Kebakaran tersebut berlaku di sebuah kilang bahan pencuci kolam renang di bandar Vilanova i la Geltrú, yang terletak 48 kilometer di selatan Barcelona.
Insiden itu berlku kira-kira pukul 2.20 pagi waktu tempatan, ia telah menghasilkan kepulan asap tebal mengandungi klorin yang menyelubungi kawasan sekitar.
Pada awalnya, pihak berkuasa mengarahkan penduduk di zon terjejas untuk kekal berada di kediaman masing-masing namun arahan itu ditarik semula beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun menurut perkhidmatan kecemasan Catalonia, tiada individu yang cedera dalam insiden tersebut.
Sementara itu pemilik premis perindustrian berkenaan, Jorge Viñuales Alonso, memaklumkan bahawa kebakaran itu mungkin berpunca daripada bateri litium.
Sementara itu, jurucakap Perlindungan Awam, Joan Ramon Cabello memaklumkan bahawa kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada hari sama.- Reuters