fb fb fb fb fb

Pemimpin tertinggi Iran bidas AS, UK punca krisis di Gaza kian meruncing

Foto REUTERS

TEHRAN, 11 MEI - Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin bukan sahaja berpunca daripada kekejaman rejim zionis, malah turut didorong oleh sokongan dan campur tangan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Khamenei menyalahkan kedua-dua negara itu atas kemelut yang semakin meruncing di Gaza dan menganggap AS dan UK gagal menghalang tindakan Israel meneruskan kempen ketenteraan terhadap Hamas dan melanggar gencatan senjata sejak Mac lalu.

“Hakikatnya, rakyat Palestin yang tertindas, rakyat Gaza yang dizalimi, mereka bukan hanya perlu berdepan rejim zionis, malah turut ditekan Amerika dan United Kingdom,” tegas Khamenei dalam ucapannya di Tehran, pada Sabtu.

Beliau turut mengkritik sokongan AS terhadap mekanisme baharu penyaluran bantuan ke Gaza yang dirancang akan dikendalikan oleh syarikat swasta.

Ketika ini, dunia menanti pelaksanaan pelan bantuan baharu ke Gaza yang telah musnah teruk akibat serangan udara dan darat Israel selama 19 bulan.

Mengakibatkan lebih 52,000 rakyat Palestin terkorban dan menyebabkan lebih 2.3 juta penduduknya hilang tempat tinggal.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD