fb fb fb fb fb

India dakwa Pakistan cabuli perjanjian gencatan senjata

Foto AFP

NEW DELHI, 11 Mei - India mendakwa Pakistan melanggar gencatan senjata beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kedua-dua negara bersetuju menghentikan operasi ketenteraan.

Insiden tembakan dilaporkan masih berterusan di sempadan Kashmir, dengan media antarabangsa melaporkan bunyi letupan di Srinagar serta tembak-menembak dari arah wilayah yang dikuasai Pakistan.

Menurut Setiausaha Luar India, Vikram Misri, tindakan serangan berulang kali oleh Pakistan memaksa angkatan tentera India bertindak balas.

"Ini merupakan satu pencabulan serius terhadap persefahaman yang baru sahaja dimeterai. Angkatan tentera India kini sedang memberikan tindak balas yang mencukupi dan bersesuaian terhadap pelanggaran ini.

"Kami menyeru Pakistan agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani pelanggaran dengan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab, tegasnya ketika bercakap kepada media tempatan.

Sementara itu, Kashmir turut mendakwa India melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Pakistan menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan gencatan senjata meskipun berdepan tuduhan melanggarnya.

Sebelum ini, Trump mengumumkan gencatan senjata penuh serta-merta antara Pakistan dan India hasil rundingan yang dimulakan AS.

Kedua-dua pihak dikatakan bersetuju menghentikan semua serangan darat, udara dan laut bermula petang Sabtu.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menghargai peranan AS dan menyifatkannya sebagai permulaan baharu untuk kestabilan serantau.

Pertempuran yang bermula sejak beberapa hari lalu telah mengorbankan 60 nyawa.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD