fb fb fb fb fb

WHO beri amaran, kemajuan usaha menangani kebuluran di Gaza masih rendah

Usaha tangani kebuluran di Gaza masih rendah.-Foto Reuters

ISTANBUL, 21 Disember - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad memberi amaran bahawa kemajuan dalam menangani kebuluran di Gaza masih “sangat rapuh” selepas Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) melaporkan bahawa ketika ini tiada kawasan di Gaza diklasifikasikan sebagai menghadapi kebuluran, lapor Anadolu Ajansi.

“Kemajuan yang dialu-alukan ini kekal sangat rapuh memandangkan penduduk terus bergelut dengan kemusnahan infrastruktur berskala besar, sumber mata pencarian yang runtuh serta pengeluaran makanan tempatan yang terjejas teruk selain sekatan terhadap operasi kemanusiaan,” tulis Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam hantaran di platform X.

Tedros memaklumkan bahawa lebih 100,000 kanak-kanak serta 37,000 wanita hamil dan menyusukan bayi masih diunjurkan mengalami kekurangan zat makanan akut sehingga April tahun depan, manakala hanya 50 peratus kemudahan kesihatan di Gaza berfungsi secara separa dan berdepan kekurangan bekalan serta peralatan penting.

“Bagi meningkatkan perkhidmatan menyelamatkan nyawa dan meluaskan akses kepada rawatan, WHO menggesa kelulusan segera dan dipercepatkan bagi kemasukan bekalan perubatan penting, peralatan serta struktur hospital pasang siap,” katanya.

Menurut laporan IPC, ketika ini tiada kawasan di Gaza diklasifikasikan sebagai menghadapi kebuluran pada masa ini susulan pelaksanaan gencatan senjata yang ditandatangani pada Oktober.

Walaupun perkembangan terbaharu di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh itu, termasuk cadangan pelan damai dan peningkatan kemasukan bekalan makanan, telah membantu meredakan keadaan paling ekstrem, IPC memberi amaran bahawa prospek ke hadapan masih membimbangkan.

Tedros turut berkata beliau “berasa lega” dengan laporan bahawa petugas kesihatan Sudan yang ditahan di Darfur Selatan telah dibebaskan.

“Adalah penting semua penyedia penjagaan kesihatan dan orang awam yang ditahan dibebaskan. Pada saat genting ini, doktor dan petugas kesihatan lain amat diperlukan bagi menyampaikan perkhidmatan penting kepada penduduk yang memerlukan. Kesihatan tidak seharusnya menjadi sasaran,” tegasnya.

Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan membebaskan sembilan petugas perubatan daripada tahanan di Nyala, ibu negeri Darfur Selatan, daripada keseluruhan 73 petugas kesihatan yang masih ditahan, menurut satu kumpulan perubatan tempatan pada Sabtu.-BERNAMA-ANADOLU

ASHRIQ FAHMY AHMAD