fb fb fb fb fb

WHO akan terus desak peroleh jawapan asal usul COVID-19

(Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus/ AFP)

GENEVA, 16 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan terus mengulangi desakan sehingga menemui jawapan bagaimana wabak COVID-19 bermula, kata ketua agensi itu semalam berikutan laporan yang mencadangkan supaya pencarian mengenainya tidak diteruskan.

Menyelesaikan misteri dari mana virus SARS CoV-2 berasal dan bagaimana ia mula merebak dalam kalangan manusia dilihat penting untuk mengelak penularan wabak itu pada masa depan.

Bagaimanapun, artikel di laman web Nature, kelmarin menyatakan WHO berputus asa dalam pencarian itu susulan tidak mendapat kerjasama yang diharapkan daripada China, iaitu lokasi wabak itu bermula pada penghujung 2019.

"Kami perlu terus mendesak sehingga dapat jawapannya.

"Mengetahui bagaimana wabak ini bermula adalah sangat penting dan mustahak," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata, baru-baru ini pihaknya menghantar surat kepada pegawai tertinggi di China untuk 'memohon kerjasama kerana WHO amat memerlukannya, selain ketelusan maklumat untuk mengetahui bagaimana wabak bermula'.

Dua teori utama yang hangat diperdebatkan tertumpu kepada penularan virus itu secara semula jadi daripada kelawar ke haiwan perantara dan kepada manusia, selain dikatakan berpunca daripada kecuaian di makmal.

Laporan Nature turut mendakwa WHO 'menangguhkan secara senyap-senyap fasa kedua penyiasatan saintifik yang dinantikan mengenai asal-usul pandemik COVID-19'.

Ia memetik kenyataan dikeluarkan pakar WHO yang mengetuai tindak balas COVID-19, Maria Van Kerkhove, bahawa 'tidak ada fasa kedua siasatan'.

Jelasnya dalam laporan itu, WHO merancang supaya langkah itu diambil secara berperingkat, namun 'perancangan itu sudah berubah' disebabkan situasi politik di seluruh dunia yang menyekat perkembangan bagi memahami asal usul COVID-19. - AFP


(FOTO FAIL/ AFP)

Media Baharu