fb fb fb fb fb

WHO adakan mesyuarat tergempar berkaitan wabak E.Guinea Marburg

(Menteri Kesihatan Equatorial Guinea, Mitoha Ondo'o Ayekaba, mengesahkan
wabak pertama virus berkenaan di negaranya, susulan kematian sembilan
orang/REUTERS)

GENEVA, 15 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas sekurang-kurangnya sembilan orang di Equatorial Guinea meninggal dunia akibat demam berdarah Marburg.

Katanya, mesyuarat tergempar bersama konsortium vaksin virus Marburg (MARVAC) itu berlangsung pada jam 3 petang waktu tempatan.MARVAC termasuk wakil dari bidang penyelidikan dan pembangunan vaksin, berusaha untuk membangunkan vaksin bagi melawan virus Marburg.

Virus Marburg adalah patogen sangat berbahaya yang mengakibatkan demam teruk, selalunya disertai dengan pendarahan dan kegagalan organ.

Ia sebahagian keluarga filovirus, juga termasuk virus Ebola, yang sudah mendatangkan malapetaka terhadap beberapa wabak yang terhasil sebelum ini di Afrika.

WHO menjelaskan, pada masa ini, tiada vaksin atau rawatan antivirus diluluskan untuk merawat Marburg, namun rawatan berpotensi, termasuk produk darah, terapi imun dan ubat serta vaksin adalah antara yang sedang dinilai.

Pengumuman mesyuarat itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Equatorial Guinea, Mitoha Ondo'o Ayekaba, mengesahkan pada lewat Isnin wabak pertama virus berkenaan di negaranya, susulan kematian sembilan orang itu.

Beliau berkata, amaran kesihatan sudah diisytiharkan di wilayah Kie-Ntem dan di daerah jiran Mongomo, dengan pelan penutupan dilaksanakan selepas berunding dengan WHO, dijangka menjejaskan 4,325 orang di Kie-Ntem.

Kerajaan negara itu minggu lalu mengumumkan sedang menyiasat punca suspek kes demam berdarah di kawasan hutan di timur, berhampiran sempadan Gabon dan Cameroon di pantai barat tengah Afrika, namun katanya, hanya tiga orang menunjukkan gejala ringan.

Tambah Mitoha, sembilan kematian itu berlaku antara 7 Januari dan 7 Februari lalu, dengan ujian masih perlu dijalankan ke atas kematian 'mencurigakan' di hospital pada 10 Februari.

WHO dalam satu kenyataan semalam berkata selain sembilan kematian, 16 individu lain di Kie-Ntem turut menunjukkan simptom yang disyaki ekoran mengalami gejala demam dan muntah darah.


(Kelawar buah, yang juga perumah semula jadi virus Marburg, disyaki menjadi punca wabak
terbabit di Afrika Barat, menyebabkan sembilan kematian setakat ini/FOTO www.who.int
)

Perumah semula jadi virus Marburg ialah kelawar buah Afrika, yang membawa virus serta boleh menyebarkannya pada jarak dekat, termasuk kepada manusia dan penularan dari manusia kepada manusia kemudiannya berlaku menerusi sentuhan dengan darah atau cecair badan yang lain.

WHO menjelaskan, kadar kematian terhadap kes disahkan berkisar antara 24 peratus hingga 88 peratus mengikut penularan terdahulu, bergantung kepada keupayaan virus dan pengurusan kes. -AFP

Media Baharu