fb fb fb fb fb

WHO, 50 negara beri amaran peningkatan serangan perisian tebusan

Foto Reuters

NEW YORK, 9 November – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kira-kira 50 negara pada Jumaat mengeluarkan amaran di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai peningkatan serangan perisian tebusan terhadap hospital, dengan Amerika Syarikat (AS) secara khusus menuding jari kepada Rusia.

Perisian tebusan merupakan sejenis pemerasan digital di mana penggodam menyulitkan data mangsa, individu, syarikat atau institusi dan menuntut wang sebagai "tebusan" untuk memulihkannya.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang berucap kepada Majlis Keselamatan PBB dalam satu mesyuarat yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat, menegaskan bahawa serangan terhadap hospital boleh menjadi "isu hidup dan mati".

Beliau berkata tinjauan menunjukkan peningkatan dalam skala dan kekerapan serangan terhadap sektor kesihatan, sambil menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman tersebut.

“Jenayah siber, termasuk perisian tebusan, menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan antarabangsa,” kata Ghebreyesus sambil menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk menganggapnya sebagai isu keselamatan global.

Kenyataan bersama yang disokong oleh lebih 50 negara, termasuk Korea Selatan, Ukraine, Jepun, Argentina, Perancis, Jerman, dan United Kingdom, turut memberi amaran tentang ancaman ini.

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa serangan sebegini menjejaskan keselamatan awam, membahayakan nyawa manusia dengan melengahkan perkhidmatan kesihatan kritikal, menyebabkan kerugian ekonomi yang besar, dan boleh menjadi ancaman terhadap keamanan antarabangsa.

Kenyataan itu juga mengecam negara yang “secara sedar” membenarkan pelaku serangan perisian tebusan beroperasi dari wilayah mereka.

Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS, Anne Neuberger, menuduh Moscow secara langsung dengan berkata: “Beberapa negara terutamanya Rusia terus membenarkan pelaku perisian tebusan beroperasi dari wilayah mereka tanpa sebarang tindakan.”

Perancis dan Korea Selatan turut menuding jari kepada Korea Utara.

Duta Rusia, Vassili Nebenzia, mempertahankan pendirian negaranya, menyatakan bahawa Majlis Keselamatan bukanlah forum sesuai untuk membincangkan jenayah siber.

Nebenzia menambah, jika isu keselamatan hospital hendak dibincangkan, Majlis Keselamatan perlu menyelaraskan langkah konkrit untuk menghentikan serangan terhadap hospital di Semenanjung Gaza.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN