WASHINGTON,11 Disember - Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak bersaiz besar di pesisir Venezuela, umum Presiden Donald Trump.
Tindakan yang disifatkan Caracas sebagai “kecurian terang-terangan” ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak.
Langkah itu berlaku ketika AS meningkatkan kehadiran angkatan lautnya di Caribbean, sesuatu yang didakwa Presiden Nicolas Maduro sebagai cubaan menggugat kedaulatan dengan alasan operasi terhadap bot yang dikatakan terlibat dengan penyeludupan dadah.
Rakaman yang dikeluarkan Peguam Negara AS, Pam Bondi, menunjukkan anggota tentera AS turun dari helikopter ke geladak kapal sebelum memasuki ruang kawalan dengan senjata.
“Kami baru sahaja merampas sebuah kapal tangki yang sangat besar, yang terbesar pernah dirampas,” kata Trump kepada media di White House.
Bondi mendakwa kapal itu sebahagian daripada rangkaian penghantaran minyak haram yang membawa minyak dari Venezuela dan Iran yang dikenakan sekatan.
Dalam reaksi balas, Kementerian Luar Venezuela mengutuk tindakan AS itu sebagai “tindakan lanun antarabangsa” merupakan kecurian terang-terangan dan mendakwa Washington bertindak secara unilateral.
Media AS melaporkan kapal itu dalam perjalanan ke Cuba sebelum ditahan Pengawal Pantai AS.
Perkembangan itu berlaku sehari sebelum pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, dijadual membuat penampilan umum di Oslo selepas berbulan-bulan bersembunyi susulan ancaman keselamatan.
Venezuela sebelum ini memberi amaran bahawa beliau boleh ditahan sebagai pelarian jika cuba memasuki semula negara itu selepas melakukan perjalanan untuk menerima Nobel, namun Trump memberi amaran kepada Caracas agar tidak mengambil tindakan sedemikian.
“Saya tidak suka jika beliau ditahan, saya tidak akan berpuas hati dengannya,” kata Trump kepada wartawan.
Pentadbiran Trump sejak kebelakangan ini memperhebat tekanan terhadap Maduro termasuk menghantar armada tentera laut serta kapal pengangkut pesawat terbesar dunia ke rantau itu atas alasan memerangi penyeludupan dadah.
AS turut mengaku melancarkan serangan terhadap lebih 20 bot didakwa terlibat dalam jenayah tersebut, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang.
Washington menuduh Maduro mengetuai “Kartel Matahari” (Cartel of the Suns) atau organisasi “narko-pengganas, bulan lalu.
Maduro pula menegaskan AS mahu merampas kekayaan minyak negara itu dan cuba menggulingkan pemerintahannya.-AFP