LONDON, 11 Disember - Mangsa yang terselamat daripada Taufan Rai 2021 di Filipina memfailkan saman terhadap terhadap syarikat minyak gergasi Britain, Shell bagi menuntut pampasan atas kemusnahan berkaitan iklim, menurut tiga NGO yang menyokong tuntutan itu pada Khamis.
Saman yang difailkan firma guaman Hausfeld bagi pihak 103 mangsa itu mendakwa pelepasan karbon Shell menyumbang kepada perubahan iklim mengorbankan lebih 400 orang dan memusnahkan ratusan ribu kediaman.
Tiga NGO termasuk Greenpeace dalam kenyataan bersama menyifatkan tindakan itu sebagai langkah penting merujuk syarikat bahan api itu bertanggungjawab terhadap kerosakan akibat krisis iklim.
Jurucakap Shell bagaimanapun menolak dakwaan tersebut.
“Ini adalah dakwaan tidak berasas bahawa Shell mempunyai pengetahuan khusus mengenai perubahan iklim, ia adalah tidak benar.” kata kenyataan itu.
Tuntutan berkenaan telah disenaraikan di laman rasmi Mahkamah Tinggi London.
Pada Mei lalu, sebuah mahkamah di Jerman memutuskan bahawa syarikat boleh dipertanggungjawabkan secara prinsipnya atas kerosakan yang berpunca daripada pelepasan karbon milik mereka.
Sekali gus menaikkan harapan supaya lebih banyak negara mengikut langkah sama.
Taufan Rai melanda kawasan selatan dan tengah Filipina pada pertengahan Disember 2021, merosakkan talian elektrik, menumbangkan pokok serta mencetuskan banjir yang meragut lebih 400 nyawa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Kes ini difailkan susulan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada Julai yang menegaskan setiap negara mempunyai kewajipan undang-undang antarabangsa untuk menangani ancaman perubahan iklim.-AFP