WASHINGTON, 5 September - Ketua Pendakwa Raya Washington memfailkan saman bagi menamatkan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengerahkan hampir 2,300 anggota pengawal kebangsaan untuk menangani jenayah di ibu negara.
Dalam kenyataannya, Brian Schwalb berkata langkah itu tidak perlu, berbahaya dan melampaui kuasa Presiden. Katanya, tiada bandar di Amerika seharusnya dikuatkuasakan undang-undangnya oleh tentera, khususnya pasukan luar yang tidak bertanggungjawab kepada penduduk tempatan serta tidak terlatih dalam kepolisan.
Trump pada 11 Ogos lalu mengarahkan penempatan tentera di Washington sambil menyifatkan bandar itu sebagai kotor dan sarang jenayah. Presiden Republikan itu turut mengancam untuk mengerahkan pasukan sama ke bandar lain yang ditadbir Demokrat.
Saman tersebut turut menamakan Trump, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Jabatan Pertahanan sebagai defendan.
Tindakan berkenaan dibuat dua hari selepas seorang hakim persekutuan di California memutuskan Trump telah melanggar undang-undang apabila menggunakan tentera untuk menyuraikan protes imigresen di Los Angeles.
Menurut Pejabat Ketua Pendakwa Raya Washington, kehadiran tentera di ibu negara dianggap sebagai pendudukan tanpa kerelaan yang meningkatkan ketegangan awam dan menjejaskan ekonomi tempatan.-AFP