KINSHASA, 5 September - Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Congo (DRC) mengisytiharkan wabak baharu Ebola di wilayah Kasai Tengah selepas 15 kematian dilaporkan sejak penghujung Ogos lalu.
Menteri Kesihatan, Samuel Roger Kamba berkata, setakat ini 28 kes disyaki direkodkan, dengan kes pertama dikesan pada 20 Ogos membabitkan seorang wanita hamil berusia 34 tahun yang dimasukkan ke hospital.
“Ini adalah wabak ke-16 yang direkodkan di negara kita,” katanya pada sidang media di Kinshasa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan angka kes akan terus meningkat dan telah menghantar pakar bersama pasukan respons Congo ke wilayah Kasai. WHO Afrika menerusi pengarah wilayahnya, Mohamed Janabi berkata, pihaknya bertindak dengan tekad untuk menghentikan penularan virus dengan segera dan melindungi komuniti terlibat.
DRC mempunyai simpanan rawatan untuk demam berdarah virus itu serta 2,000 dos vaksin yang akan dipindahkan dari Kinshasa ke Kasai. Kamba menjelaskan strain Zaire menjadi punca wabak kali ini, dan strain tersebut mempunyai vaksin khusus, namun pelaksanaannya memerlukan persediaan logistik yang rapi.
Ebola pertama kali dikenal pasti pada 1976 dan dipercayai berasal daripada kelawar. Virus ini menular melalui sentuhan langsung dengan cecair badan dan boleh menyebabkan pendarahan serius serta kegagalan organ.
Wabak paling dahsyat di DRC antara 2018 hingga 2020 telah meragut hampir 2,300 nyawa. Negara dengan populasi lebih 100 juta itu berdepan cabaran besar menangani penularan penyakit berikutan kekangan infrastruktur dan laluan komunikasi yang terhad.-AFP