PARIS, 5 September - Dunia fesyen dan perfileman antarabangsa memberi penghormatan kepada pereka legenda Itali, Giorgio Armani, yang meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Pelakon Hollywood Julia Roberts, yang sering tampil dengan rekaan Armani, menyifatkan beliau sebagai “seorang sahabat sejati dan legenda”.
Bintang filem Itali, Claudia Cardinale, mengakui berita pemergian itu memberi kesedihan mendalam. “Pertemuan dengan Giorgio menjadi detik penting dalam hidup saya, yang menandakan peralihan kepada seorang wanita baharu, bebas dan berdikari. Hati saya hancur. Giorgio selamanya,” katanya.
Pelakon Australia, Russell Crowe turut berkongsi pengalaman membeli sut Armani pertamanya di Festival Filem Cannes 1997 selepas kehilangan bagasi. Beliau berkata, sejak itu lahirlah hubungan istimewa dengan jenama berkenaan.
Tokoh fesyen global turut menzahirkan penghormatan. Ketua empayar LVMH, Bernard Arnault memuji Armani kerana memberi elegan Itali pengaruh bertaraf dunia, selain menjadikannya kejayaan keusahawanan yang luar biasa. Forbes menganggarkan kekayaan peribadi Armani melebihi AS$12 bilion.
Kumpulan LVMH dalam kenyataan menyebut Armani sebagai wakil terakhir generasi emas pereka pasca perang yang mengangkat standard elegan tertinggi. Ikon fesyen Itali, Donatella Versace, pula menyifatkan beliau sebagai tokoh besar yang akan sentiasa dikenang.
Ketua Kumpulan Kering, Francois-Henri Pinault, menegaskan Armani seorang visionari luar biasa yang mentakrif semula erti elegan dan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Pereka Dior, Jonathan Anderson pula menulis ringkas di Instagram dengan kapsyen “Yang terbaik” berserta gambar Armani bersama Martin Scorsese dan Robert De Niro di set penggambaran filem Casino.
Pereka fesyen Amerika Syarikat, Michael Kors berkata, beliau amat berdukacita dengan pemergian Armani. “Elegan, visi dan pendekatan beliau terhadap gaya telah mengubah cara lelaki dan wanita di seluruh dunia berpakaian. Saya berasa bertuah menyaksikan magis maestro itu di pentas peragaan New York awal tahun ini,” katanya.-AFP