WASHINGTON, 5 September - Amerika Syarikat merancang menamatkan bantuan ketenteraan jangka panjang kepada Eropah Timur.
Langkah itu dilakukan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump menggesa benua itu agar lebih berdikari terhadap pertahanan sendiri, lapor media pada Khamis.
Memetik laporan The Washington Post, langkah tersebut akan menjejaskan ratusan juta dolar bantuan bagi pengukuhan pertahanan terhadap Rusia.
Financial Times turut melaporkan perkara sama, dengan menyatakan pegawai AS telah memaklumkan diplomat Eropah minggu lalu mengenai keputusan Washington untuk menghentikan pembiayaan program latihan serta kelengkapan ketenteraan bagi tentera Eropah Timur di sepanjang sempadan Rusia.
“Tindakan ini telah diselaraskan bersama negara-negara Eropah selaras dengan perintah eksekutif dan penekanan presiden supaya Eropah mengambil lebih banyak tanggungjawab terhadap pertahanan mereka sendiri,” katanya yang enggan dikenali.
Keputusan mengurangkan bantuan kepada Eropah Timur dibuat ketika Trump bergelut menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang berlarutan sejak tiga setengah tahun.
Trump sejak sekian lama bersikap ragu-ragu terhadap perbelanjaan pertahanan AS di Eropah serta bantuan untuk Ukraine, dengan menekan sekutu rapat Washington agar memainkan peranan lebih besar dalam kedua-dua aspek tersebut. - AFP