KHARTOUM, 5 September - Pasukan penyelamat menemui 370 mayat selepas tanah runtuh memusnahkan Kampung Tarasin di Banjaran Jebel Marra, Darfur, pada Ahad lalu.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,000 penduduk mungkin terkorban, namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan kerana kawasan itu sukar diakses.
Ketua pentadbiran awam tempatan, Ibrahim Suleiman berkata, sebahagian mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan manakala ada yang dihanyutkan arus banjir.
Operasi menyelamat dijalankan sepenuhnya oleh penduduk bersama sukarelawan kerana agensi bantuan antarabangsa tidak dapat memasuki kawasan berkenaan.
Tragedi itu berlaku ketika Sudan terus berdepan peperangan antara tentera dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak April 2023.
Konflik berlarutan itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal, selain menjejaskan bantuan kemanusiaan di negara berkenaan.-AFP