GAZA, 6 September- Agensi berita, Associated Press (AP) mempersoalkan rasional di sebalik serangan tentera Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Yunis pada 25 Ogos lalu yang mengorbankan 22 orang termasuk lima wartawan Palestin.
AP menegaskan bangunan yang diserang diketahui sebagai lokasi berkumpul wartawan, malah saksi menyatakan tentera Israel kerap memerhati kawasan itu melalui dron termasuk kira-kira 40 minit sebelum serangan pertama.
Menurut laporan AP, dakwaan tentera Israel bahawa Hamas menggunakan kamera menerusi atas bumbung hospital terbabit adalah tidak tepat sama sekali.
Siasatan AP menunjukkan satu-satunya kamera di lokasi itu ialah milik wartawan foto dan video Hussam al-Masri, yang bekerja dengan Reuters.
AP turut mempersoalkan tindakan "double-tap" Israel apabila serangan kedua dilakukan di posisi sama selepas petugas perubatan dan wartawan tiba untuk membantu mangsa serta membuat liputan.
Tentera Israel menggunakan peluru berpandu berkuasa tinggi dalam serangan berulang ke hospital itu dan semuanya tanpa amaran, lapor AP. -AFP