fb fb fb fb fb

Australia tawar RM3.1 juta tangkap penembak polis

Keranda salah seorang anggota polis yang mati ditembak oleh Desmond Freeman (foto kecil) dibawa keluar dari kapel Akademi Polis Victoria selepas upacara pengebumian di Melbourne semalam/ AFP / Victoria Police

SYDNEY, 6 September- Polis Victoria menawarkan ganjaran AS$659,000 (RM3.1 juta) kepada individu yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya Desmond Freeman yang melarikan diri selepas disyaki membunuh dua anggota polis.

Freeman, 56, didakwa melepaskan tembakan apabila polis tiba di rumahnya di Victoria Timur dengan waran serbuan, meragut nyawa detektif Neal Thompson, 59, dan konstabel kanan Vadim De Waart, 35.

Seorang lagi anggota polis turut cedera di bahagian bawah badan.

Menurut laporan, pasukan yang hadir dalam serbuan itu termasuk anggota daripada seksyen siasatan kes seksual dan kanak-kanak, namun tujuan sebenar penggeledahan rumah Freeman tidak didedahkan.

Lebih 450 anggota polis mengadakan operasi mencari di kawasan hutan tebal berhampiran Porepunkah, namun Freeman yang dilaporkan memiliki kemahiran hidup di hutan masih bebas.

Polis menegaskan Freeman masih bersenjata dan menasihati orang ramai supaya tidak mendekatinya.

Polis turut menyifatkan ganjaran itu sebagai jumlah yang boleh "mengubah kehidupan" seseorang dan rekod tertinggi bagi negeri Victoria.

Polis tidak menolak kemungkinan Freeman dibantu individu lain, namun turut mengeluarkan kemungkinan dia masih bebas bersendirian atau meninggal dunia akibat mencederakan diri sendiri. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA