WASHINGTON, 6 September- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Sidang Kemuncak G20 2026 akan diadakan di resort golf miliknya, Trump National Doral di Miami.
"Ia akan diadakan di Doral. Semua orang mahu diadakan di situ kerana ia berhampiran lapangan terbang, lokasi terbaik, cantik, semuanya cantik," katanya.
Trump turut menegaskan bahawa beliau tidak akan mendapat keuntungan daripada acara itu.
"Kami tidak akan buat duit daripada ini. Tiada wang terlibat. Saya cuma mahu semuanya berjalan lancar," katanya lagi.
Presiden AS itu menambah kebanyakan bilik hotel di Miami biasanya penuh pada Disember, justeru setiap negara akan mempunyai bangunan sendiri untuk delegasi.
Trump juga memaklumkan beliau terbuka kepada kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping sebagai pemerhati meskipun kedua-duanya anggota G20.
Dalam pada itu, Trump mengesahkan beliau tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 tahun ini di Afrika Selatan dan akan menghantar Naib Presiden, JD Vance sebagai wakil. -AFP