TOKYO, 6 September- Jepun menyambut upacara dewasa Putera Hisahito di Istana Diraja hari ini, di tengah-tengah perbincangan mengenai peralihan takhta yang masih berlanjutan.
Putera berusia 19 tahun itu menerima mahkota sutera hitam dan lakuer, menandakan permulaan hayatnya sebagai ahli keluarga diraja dewasa.
"Terima kasih kerana menganugerahkan mahkota hari ini. Saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli keluarga diraja dewasa," titahnya.
Kedudukan Hisahito kedua selepas bapanya, menjadikannya pewaris lelaki yang sah menurut undang-undang peralihan takhta berasaskan jantina. Walaupun Maharaja Naruhito mempunyai anak perempuan, Puteri Aiko, undang-undang keluarga diraja hanya membenarkan lelaki menaiki takhta.
Pandangan awam bagaimanapun menyokong wanita menjadi maharaja dengan ramai bersetuju bahawa jantina tidak sepatutnya menjadi halangan.
Perdebatan mengenai peralihan takhta telah berlangsung berdekad-dekad.
Cadangan pada 2005 mencadangkan hak pewarisan mengikut anak tertua tanpa mengira jantina, namun kelahiran Hisahito menangguhkan perubahan itu.
Ahli konservatif pula menegaskan kesinambungan garis lelaki sebagai asas tradisi Jepun.
Selain isu peralihan takhta, kehidupan keluarga diraja dipenuhi tekanan termasuk ke atas ahli wanita yang berkahwin dan perlu meninggalkan keluarga diraja.
Hisahito sendiri mengakui belum memikirkan soal perkahwinan yang kelak mungkin menjadi cabaran dalam mengekalkan garis keturunan. -AFP