ROME, 19 Julai- Mahkamah Milan memerintahkan seorang wartawan untuk membayar ganti rugi kepada Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni sebanyak 5,000 euro ($5,465) kerana 'body shaming' dalam hantaran di media sosial, lapor agensi berita ANSA dan media tempatan yang lain.
Wartawan Giulia Cortese, juga dikenakan denda penggantungan sebanyak 1,200 euro kerana hantaran itu di X, pada Oktober 2021 tentang ketinggian Meloni.
Cortese menerusi hantaran di X berkata, "Kerajaan Itali mempunyai masalah serius dengan kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat kewartawanan."
Meloni melancarkan tindakan undang-undang terhadap wartawan itu selepas dua wanita berkenaan bertelagah di media sosial tiga tahun lalu.
Cortese membalas dengan twit lanjut termasuk satu yang diterjemahkan sebagai "anda tidak menakutkan saya, Giorgia Meloni. Lagipun, anda hanya 1.2 meter (4 kaki) tinggi. Saya tidak dapat melihat anda."
Ketinggian Meloni dianggarakan antara 1.58 meter dan 1.63 meter di pelbagai platform media.
Bagaimanapun Cortese boleh merayu terhadap hukuman itu, dan peguam Meloni berkata bayaran yang diterima akan didermakan kepada kebajikan.
Cortese dalam satu hantaran di X berkata, ia adalah masa yang sukar untuk wartawan bebas di Itali.
"Kami berharap untuk hari yang lebih baik di hadapan. Kami tidak akan berputus asa!" tambahnya.
Sementara itu, menurut laporan Reporters Without Borders Itali menduduki tangga ke-46 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024.
Kes Meloni bukan perkara baru yang membawa wartawan ke mahkamah. Tahun lalu Mahkamah Rom mendenda pengarang terlaris Roberto Saviano sebanyak 1,000 euro serta perbelanjaan undang-undang selepas dia menghinanya di televisyen pada 2021 berhubung pendirian tegasnya terhadap pendatang haram.- REUTERS