fb fb fb fb fb

Wartawan dihalang masuk Gaza: 'Apa yang cuba disembunyikan Israel?'

Penyokong pro-Palestin memegang plakad sebagai tanda solidariti bersama media/Foto AFP

PARIS, 19 Oktober – Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin membanjiri jalan raya di ibu negara Perancis semalam bagi mengecam tindakan Israel yang berulang kali melanggar gencatan senjata di Gaza serta menghalang wartawan bebas daripada memasuki wilayah berkenaan.

Dalam demonstrasi penuh emosi itu, barisan anak patung dan beruang mainan diletakkan di sepanjang jalan bagi memperingati kanak-kanak Palestin yang terkorban akibat serangan tentera Israel.

Laungan slogan solidariti dan kibaran bendera Palestin mewarnai suasana perhimpunan aman tersebut.

Seorang penunjuk perasaan berkata, adalah tidak masuk akal apabila Israel masih mengawal akses wartawan antarabangsa ke Gaza meskipun gencatan senjata telah diumumkan.

“Kita bercakap tentang perjanjian damai, tetapi sudah seminggu tiada seorang pun wartawan asing dibenarkan masuk ke Gaza kerana Israel masih mengawal kebenaran kemasukan. Mengapa perlu disembunyikan?” katanya.

Seorang lagi peserta mendedahkan Israel cuba menafikan laporan media dengan menuduh wartawan tempatan pro-Hamas, sedangkan rejim itu sendiri menutup pintu kepada media antarabangsa.

“Mereka kata maklumat datang daripada wartawan pro-Hamas, tetapi sebenarnya merekalah yang tidak membenarkan wartawan luar masuk untuk melaporkan apa yang benar-benar berlaku,” ujarnya.

Gencatan senjata yang diumumkan bermula 11 Oktober lalu kini telah memasuki hari ke-9 hari ini.

Sumber Palestin mendedahkan Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 47 kali, mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan 143 cedera.

Angka itu termasuk dalam serangan udara di Tel al-Hawa, Sabra, Zeitoun dan Khan Younis.

Pihak berkuasa Palestin turut mengecam tindakan Israel menutup Lintasan Rafah, yang menjadi laluan penting bagi penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan penduduk awam. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN