fb fb fb fb fb

Permata Diraja Perancis lesap dirompak di Muzium Louvre

Gambar menunjukkan mahkota Permaisuri Perancis, Eugénie de Montijo yang dipamerkan di Galerie d’Apollon, Muzium Louvre pada 14 Januari 2020/Foto AFP

PARIS, 19 Oktober – Sekumpulan perompak melarikan barangan kemas milik kerabat Diraja Perancis yang tidak ternilai harganya dari Muzium Louvre pagi tadi.

Menurut polis, perompak yang dianggarkan antara tiga hingga empat orang itu tiba menaiki skuter sambil bersenjatakan gergaji rantai kecil sebelum menggunakan lif punggah barang untuk memasuki ruang pameran Galerie d’Apollon – lokasi yang menempatkan koleksi permata Diraja Perancis.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata kumpulan itu menggunakan lif barang dan gergaji pemotong besi untuk menceroboh dua ruang pameran utama.

Perompak menceroboh antara pukul 9.30 hingga 9.40 pagi, hanya 30 minit selepas muzium itu dibuka kepada orang awam.

“Barang kemas yang dicuri itu tidak ternilai harganya,” katanya kepada stesen media tempatan.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati memaklumkan bahawa salah satu barang kemas yang dicuri telah dijumpai berhampiran muzium berkenaan.

“Salah satu barang kemas yang dicuri telah ditemui berhampiran Louvre,” katanya kepada stesen televisyen TF1, tanpa memperincikan keadaan barangan tersebut.

Sumber yang rapat dengan siasatan memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa menemui sebuah mahkota abad ke-19 yang telah rosak berhampiran lokasi kejadian.

Mahkota itu pernah menjadi milik Permaisuri Eugenie, isteri kepada Napoleon III, dihiasi 1,354 butir berlian dan 56 zamrud, serta menampilkan ukiran helang emas.

Mahkota itu menjadikannya antara koleksi paling berharga di muzium berkenaan.

Setakat ini, nilai keseluruhan barangan yang dicuri masih dalam proses penilaian, sementara pasukan khas polis Perancis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri menaiki skuter.

Rompakan berani itu berlaku hanya 800 meter dari ibu pejabat polis Paris, dan pejabat pendakwa raya mengesahkan siasatan telah dibuka dengan anggaran nilai rampasan masih dinilai.

Muzium Louvre di Paris merupakan muzium seni terbesar di dunia dan antara destinasi pelancongan paling ikonik di Perancis.

Louvre, yang dahulunya istana diraja Perancis, menjadi muzium sejak pemerintahan Louis XIV berpindah ke Versailles pada akhir 1600-an.

Ia kini memegang gelaran muzium paling ramai dikunjungi di dunia, dengan hampir sembilan juta pelawat setahun. 

Dikenali dengan piramid kaca ikoniknya, Louvre menjadi simbol warisan budaya dan sejarah global yang mana menempatkan lebih 35,000 karya seni termasuk Mona Lisa, Venus de Milo dan koleksi permata diraja Perancis.

Galeri d’Apollon pernah menjadi inspirasi kepada “Hall of Mirrors” di Istana Versailles.

Pada tahun 1911, lukisan ikonik Mona Lisa pernah dicuri dari Louvre sebelum ditemui semula beberapa bulan kemudian dan kini dipamerkan di sebalik kaca keselamatan khas.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa muzium di Perancis turut menjadi sasaran rompakan:

  • September 2025: Penjenayah memecah masuk ke Muzium Sejarah Alam Paris menggunakan gergaji elektrik dan melarikan sampel emas bernilai €600,000 (RM3.1 juta).
  • Awal Oktober 2025: Dua pinggan dan sebuah pasu porselin China berstatus “khazanah negara” dicuri dari muzium di bandar Limoges, dengan kerugian dianggarkan €6.5 juta (RM34 juta).
  • November 2024: Empat perompak bersenjatakan kapak dan kayu besbol memecah masuk ke Muzium Cognacq-Jay di Paris, melarikan beberapa kotak tembakau dan artifak berharga.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Januari lalu berjanji untuk menyusun semula, memulihkan dan memperluas Muzium Louvre selepas pengarahnya memberi amaran mengenai keadaan struktur muzium yang semakin uzur.

Macron menyatakan hasrat agar projek pemulihan itu dapat meningkatkan jumlah pelawat tahunan kepada 12 juta orang.- AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN