BEIRUT, 14 November- Wartawan di Lubnan berkata mereka menjadi sasaran serangan Israel selepas jurugambar Al Jazeera cedera.
Datuk Bandar tempatan dan media Lubnan mengesahkan dakwaan mengenai insiden rentas sempadan yang menjejaskan kumpulan media berhampiran Alma al-Shaab di selatan Lubnan.
Rejim zionis bagaimanapun enggan mengulas serangan terbabit ketika dihubungi AFP
Puluhan wartawan beberapa agensi media sedang meneliti kerosakan akibat pengeboman Israel, selain membuat liputan dari bandar sempadan Yarun ketika serangan berlaku.
Al Jazeera menerusi laman sesawangnya berkata, jurugambar, Issam Mawasi cedera akibat pengeboman Israel.
"Kenderaan Al Jazeera juga rosak akibat serangan terbabit. Ia berlaku ketika sekumpulan wartawan melawat kawasan berkenaan," katanya.
Ketua Biro Al Jazeera Lubnan, Mazen Ibrahim, berkata Israel 'secara langsung menyasarkan' kumpulan wartawan yang berada di kawasan terbuka.
"Pasukan pendudukan Israel tidak teragak-agak untuk menyasarkan wartawan secara langsung," katanya.
Pada 13 Oktober lalu, wartawan Reuters, Issam Abdallah, terbunuh manakala enam lagi wartawan dari AFP, Al Jazeera dan Reuters cedera ketika membuat liputan pertempuran rentas sempadan di selatan Lubnan.
Pihak berkuasa Lubnan mendakwa Israel adalah dalang serangan itu, namun rejim zionis mendakwa pihaknya sedang meneliti keadaan serangan terbabit.
Sementara itu, Datuk Bandar Yarun, Ali Qassem Tahfah, berkata Israel melancarkan dua serangan berturut-turut yang menyasarkan wartawan, semalam.
Serangan itu, katanya, tepat beberapa meter daripada kenderaan pasukan wartawan berkenaan, menyebabkan kenderaan dinaiki mereka rosak.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan berkata, dua serangan Israel itu 'menyasarkan pasukan media' yang beroperasi di Yarun.
Stesen penyiaran tempatan, Al Jadeed pula memuat naik video di aplikasi X, mempamerkan seorang wartawannya sedang membuat siaran langsung ketika serangan berlaku, mengakibatkan kejadian kebakaran sejurus itu.
Rakaman video lain turut menunjukkan kenderaan awam, termasuk sekurang-kurangnya satu yang bertanda 'press' (media) berada bersebelahan lokasi kebakaran itu.
Sementara itu, wartawan dari akhbar tempatan Al-Akhbar, Amal Khalil, berkata ketika kejadian, mereka sedang melakukan tinjauan di kediaman yang rosak.
"Serangan pertama mengenai tepat di dinding rumah yang dibom, manakala yang berikutnya terkena di jalan raya, selepas hampir 15 minit kami berada berhampiran rumah yang rosak," katanya.
Selain itu, katanya, dron pengawasan Israel juga didapati diterbangkan di kawasan bandar berkenaan ketika serangan dilakukan. - AFP