WASHINGTON, 14 November - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa Israel pada Isnin agar melindungi hospital utama Gaza ketika pertempuran sengit antara tentera Zionis itu dengan Hamas di sekitar kawasan berkenaan.
"Hospital perlu diberi perlindungan.
"Menjadi harapan dan jangkaan saya agar tiada tindakan ganas yang dikaitkan dengan hospital", kata Biden kepada pemberita di sini ketika ditanya sama ada dia telah memberitahu Israel berkaitan isu tersebut.
Biden turut menjelaskan dia telah berhubungan dengan Israel berkaitan perkara berkenaan.
Sementara itu, Penasihat Keselamatan Kebangsaan Biden, Jake Sulivian mengesahkan Washington telah membangkitkan isu (serangan hospital) kepada sekutunya, Israel.
"Kami telah bercakap kepada Israel tentang perkara berkenaan. Mereka turut berkongsi pandangan sama bahawa mereka juga tidak ingi melihat pertempuran bersenjata di hospital.
"Kami tidak inginkan pertempuran di hospital. kami mahu agar para pesakit dilindungi", kata Sulivan.
Tambah Sulivan, Washington juga mahu agar tempoh pemberhentian serangan yang dipersetujui Israel sebelum ini diubah dari jam kepada hari.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia di wilayah Palestin berkata sekurang-kurangnya 2,300 orang yang terdiri daripada pesakit, pekerja kesihatan dan orang yang melarikan diri dari pertempuran berada di dalam kemudahan Al-Shifa yang telah lumpuh.
Tentera Israel telah meneruskan kempen ketenteraannya, bagi menghancurkan Hamas yang didakwa membunuh sekurang-kurangnya 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan mengambil kira-kira 240 tebusan dalam serangan terburuk negara itu apabila mereka menyerbu merentasi sempadan tentera dari Gaza pada 7 Oktober.-AFP