fb fb fb fb fb

Wartawan bebas ditemui mati

(Foto Juan Arjon Lopez yang tular di facebook)

MEXICO, 17 Ogos- Seorang wartawan bebas yang dilaporkan hilang pada 9 Ogos ditemui mati di barat laut Mexico, kata pihak berkuasa Mexico, semalam.

Mayat Juan Arjon Lopez, yang memiliki halaman berita di Facebook, ditemui di San Luis Rio Colorado di negeri barat laut Sonora berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kata sumber di pejabat peguam negara Sonora kepada AFP, lelaki berusia 62 tahun itu dikenal pasti melalui cap jarinya, beberapa jam selepas pendakwa raya negeri Indira Contreras memberitahu pemberita bahawa mayat dengan tatu sepadan dengan Arjon telah ditemui.

Dalam satu kenyataan pejabat peguam negara, bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat objek tumpul.

Selain bertugas sebagai wartawan bebas, Arjon juga bekerja di restoran tempatan, jelas kumpulan hak media Reporters Without Borders (RSF).

Laporan berita terakhir di laman Facebooknya "Apa yang anda takutkan" adalah berkenaan rampasan dadah dan barang curi.

Mexico merupakan salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk akhbar, menurut kumpulan hak media dan sekurang-kurangnya 13 wartawan telah dibunuh setakat tahun ini di sana.

Lebih daripada 150 pekerja media telah dibunuh sejak tahun 2000 di negara Amerika Latin itu, namun hanya sebahagian kecil disabitkan bersalah. -AFP

 
(Tangkap layar di facebook Juan Arjon yang pernah digunakan pada 2021)

 

Media Baharu