fb fb fb fb fb

China gesa pendudukan haram di Palestin ditamatkan serta-merta

Foto REUTERS

GENEVA, 18 September - China menggesa Israel mendengar suara masyarakat antarabangsa dan menamatkan pendudukan haram di Palestin serta-merta.

Gesaan itu dibuat Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong ketika berucap pada mesyuarat khas tergempar Perhimpunan Agung PBB mengenai isu Palestin.

Fu berkata Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menerusi pendapat nasihat dikeluarkan pada Julai memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan perlu dihentikan segera.

Menurut beliau, terbukti bahawa tindakan pendudukan tidak membawa keselamatan kepada Israel sendiri, sebaliknya akan mencetuskan lebih banyak kebencian dan antagonisme sehingga ‘menyemai benih’ ketidakstabilan di seluruh rantau Asia Barat.

Beliau menyatakan hanya dengan memberhentikan pendudukan serta penubuhan negara Palestin yang merdeka, barulah keamanan berkekalan dapat diwujudkan di rantau berkenaan.

Sebelum ini, Palestin menyerahkan satu draf resolusi mengenai pelaksanaan pendapat nasihat ICJ kepada Perhimpunan Agung PBB.

Fu berkata China akan mengundi menyokong dengan harapan agar resolusi itu dapat menyuntik penggerak baharu bagi menamatkan pendudukan haram Israel, menggerakkan pelaksanaan formula 'penyelesaian dua negara' serta mewujudkan kedamaian di Asia Barat.- BERNAMA

Trainee2