fb fb fb fb fb

Taufan Boris: 24 orang maut di Eropah

FOTO AFP

CZECH, 19 September- Jumlah kematian akibat ribut di Eropah Tengah dan Timur meningkat kepada sekurang-kurangnya 24 orang apabila Republik Czech melaporkan dua korban semalam.

Sejak minggu lalu, Taufan Boris telah menyebabkan banjir meluas dan hujan lebat dengan mangsa turut dilaporkan di Austria, Poland, dan Romania.

Jurucakap polis Czech, Jakub Vincalek berkata negara itu merekodkan keseluruhan lima kematian manakala lapan orang masih hilang akibat banjir tersebut.

Seorang wanita dari Kampung Kobyla nad Vidnavkou di timur laut dilapor hilang sejak Ahad lepas. "Malangnya wanita berusia 70 tahun itu ditemukan mati," kata jurucakap polis wilayah, Libor Hejtman.

Agensi berita CTK melaporkan wanita itu ditemukan terperangkap dalam pagar berhampiran rumahnya yang musnah akibat limpahan Sungai Vidnavka.

Menteri Dalam Negeri, Vit Rakusan kemudian mengumumkan satu lagi korban iaitu mangsa kelima, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Hujan lebat melanda Republik Czech pada Jumaat dan Sabtu meningkatkan paras sungai terutama di utara dan timur laut negara yang mempunyai 10.9 juta penduduk itu.

Banjir terbabit merobohkan rumah, mengganggu lalu lintas jalan raya dan kereta api serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik itu kini telah surut, dan mendedahkan kerosakan yang meluas. -AFP

1909 BD TAUFAN BORIS
FOTO AFP

SITI AISHAH MD ISA