fb fb fb fb fb

Kanak-kanak Jepun 10 tahun maut ditikam di China

FOTO HIASAN

TOKYO, 19 September- Seorang kanak-kanak lelaki warga Jepun yang ditikam dalam perjalanan ke sebuah sekolah di China meninggal dunia awal pagi hari ini, lapor media Jepun.

Menurut laporan, seorang suspek lelaki telah menyerang mangsa, 10, di bandar Shenzhen, selatan China pagi semalam dan mangsa segera dibawa ke hospital.

Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa memaklumkan kerajaan memandang serius berhubung kes terbabit.

Timbalan Menteri Luar Jepun, Masataka Okano juga telah memanggil Duta Besar China ke Jepun, Wu Jianghao untuk menyampaikan "kebimbangan serius" mengenai insiden tersebut.

Okano meminta agar tindakan pencegahan diambil, keselamatan diperkuatkan di sekitar sekolah Jepun di China dan usaha memastikan keselamatan warga Jepun dipertingkatkan.

Masih belum jelas sama ada penyerang secara khusus menyasarkan warga Jepun, lapor Kyodo News.

Pada Jun lepas, dua warga Jepun membabitkan seorang ibu dan anaknya cedera dalam serangan pisau di Suzhou berhampiran Shanghai.

Dalam kejadian itu seorang wanita China mati ketika cuba menghentikan penyerang tersebut. -AFP

SITI AISHAH MD ISA