fb fb fb fb fb

Dua maut dalam letupan medan gas di Uzbekistan

FOTO HIASAN

TASHKENT, 19 September- Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam satu letupan di medan gas yang sedang dalam pembinaan di Uzbekistan.

"Terdapat dua kematian dan beberapa cedera," kata seorang wakil pejabat pendakwa raya mengenai letupan pada Selasa lepas, menurut agensi berita negara Uza.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan empat kematian, memetik kenyataan seorang jurucakap pentadbiran presiden.

Kemalangan berlaku berhampiran bandar Baysun di selatan, yang mana letupan sebelumnya pada 1 September lalu telah melepaskan gas hidrogen sulfida -- gas beracun yang boleh merosakkan sistem saraf manusia -- selama dua minggu.

Kira-kira 7,000 pekerja terlibat dalam pembinaan kompleks kimia-gas yang dibiayai oleh pelabur asing di kawasan tersebut.

Seorang penduduk di Baysun berkata "bau gas sampai ke rumah-rumah walaupun pintu dan tingkap ditutup." Dia yang tidak mahu mendedahkan namanya turut berkata pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan penutupan sekolah-sekolah serta pemindahan pekerja.

Sehari selepas letupan pada 1 September, Menteri Situasi Kecemasan mengumumkan pemindahan dan memberi jaminan bahawa "semuanya terkawal."

Namun, media tempatan melaporkan penduduk di beberapa kampung berdekatan mengalami rasa mual dan sakit kepala.

Syarikat menggerudi medan gas tersebut, Eriell, pada Ahad lalu mengumumkan pihaknya telah menutup telaga selepas letupan pada 1 September dengan bantuan pakar dari Amerika Syarikat dan Rusia.

Medan gas terbabit yang ditemui pada era Soviet tidak digunakan sehingga kini terutamanya kerana kesukaran akses.

Namun, sumber asli Uzbekistan yang besar kini menjadi rebutan kuasa-kuasa besar termasuk Rusia, China dan Kesatuan Eropah.

Meskipun terdapat beberapa pembukaan selepas puluhan tahun pengasingan, Uzbekistan masih merupakan negara yang mengawal ketat maklumat dan arena politiknya tiada persaingan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA