ATHENS, 19 September- Seorang pelancong di pulau Crete dekat Greece maut selepas dihempap batu akibat kejadian hujan lebat secara tiba-tiba, menurut pegawai semalam.
Wanita berusia awal 30-an itu menerima pertolongan cemas namun meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital, kata Ketua Staf Gaung Samaria, Alkiviadis Pentarakis kepada Mega TV.
"Sebongkah batu jatuh menghempap pahanya," jelas Pentarakis.
"Kawasan ini berisiko tinggi ketika cuaca buruk," tambahnya. "Hujan lebat turun secara mendadak."
Sementara itu, terdapat kekeliruan mengenai kewarganegaraan mangsa yang dikatakan warga Ukraine yang menetap di Jerman.
Organisasi Alam Sekitar Semula Jadi dan Perubahan Iklim (OFYPEKA) yang bertanggungjawab memantau taman negara Greece menyatakan tiada kecederaan serius dalam kalangan lebih 1,000 pendaki ketika kejadian.
Jabatan Bomba memaklumkan pihaknya telah membantu pelawat lain keluar dari gaung itu dan tiada yang terperangkap.
Gaung sepanjang 16 kilometer itu akan ditutup sementara menunggu pemeriksaan geologi, menurut OFYPEKA.