fb fb fb fb fb

20 maut, 450 cedera dalam letupan baharu di Lubnan

Seorang lelaki memegang peranti walkie-talkie selepas mengeluarkan bateri semasa pengebumian mangsa letupan ratusan alat 'pager' yang berlaku sehari sebelumnya di seluruh Lubnan di kawasan pinggir selatan Beirut pada 18 September 2024/AFP

BEIRUT, 19 September- Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lebih 450 lagi cedera dalam gelombang letupan kedua yang berkaitan dengan peranti elektronik di Lubnan.

Sumber yang rapat dengan Hezbollah menyatakan alat komunikasi dua hala atau 'walkie-talkie' yang digunakan oleh anggotanya meletup di Beirut dengan media negara melaporkan letupan serupa di selatan dan timur negara itu.

Rakaman AFPTV menunjukkan orang ramai lari menyelamatkan diri apabila satu letupan berlaku semasa pengebumian ahli Hezbollah di selatan Beirut pada waktu petang.

"Gelombang letupan musuh yang menyasarkan walkie-talkie mengorbankan 20 orang dan mencederakan lebih 450," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kejadian itu berlaku sehari selepas letupan serentak ratusan alat panggil (pager) yang digunakan oleh Hezbollah mengorbankan 12 orang termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan sehingga 2,800 orang di seluruh Lubnan.

Serangan itu, yang belum pernah terjadi sebelum ini, dipertanggungjawabkan kepada Israel kerana didakwa menjadi punca letupan tersebut. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA