fb fb fb fb fb

Waris mangsa berkumpul di Guangzhou


(Petugas di Lapangan Terbang Guangzhou mengedarkan makanan dan minuman kepada waris
mangsa nahas pesawat terhempas sementara menunggu perkembangan terkini/REUTERS)

GUANGZHOU, 22 Mac- Ahli keluarga mangsa serta rakan sekerja penumpang dalam pesawat malang, China Eastern Airlines mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou bagi menantikan perkembangan terkini nahas.

Penerbangan MU5735, dengan 132 orang di dalamnya, telah dijadualkan tiba di Baiyun dalam perjalanan dari Kunming di wilayah Yunnan pada petang Isnin, tetapi terhempas selepas jatuh mengejut dari paras ketinggian penerbangan biasa.

Media tempatan melaporkan tiada tanda-tanda mangsa terselamat.

Jurucakap China Eastern Airlines memaklumkan persediaan sedang diatur untuk membawa ahli keluarga mangsa ke Wuzhou, berhampiran lokasi nahas selewat-lewatnya hari ini.

"Kami menyediakan talian 'hotline' untuk ahli keluarga dan waris mangsa yang berada di atas kapal dan menghantar kumpulan kerja ke kawasan nahas berkenaan, kata syarikat penerbangan itu.

(Ahli keluarga dan waris mangsa nahas pesawat terhempas menanti ditempatkan di ruangan kecemasan
yang dikhaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou/REUTERS)

Menurut syarikat penerbangan itu lagi, semua penumpang adalah warga tempatan dan tiada penumpang warga asing menaiki pesawat berkenaan.

China Eastern Airlines memberi jaminan punca kemalangan akan disiasat sepenuhnya.

Pada masa sama syarikat berkenaan turut menzahirkan kesedihan terhadap tragedi yang menimpa penumpang dan anak kapal.

Media memetik pegawai penyelamat sebagai berkata pesawat itu telah hancur dan menyebabkan kebakaran memusnahkan pokok buluh.

Sementara akhbar People's Daily memetik seorang pegawai jabatan bomba wilayah sebagai berkata tiada tanda mereka yang masih hidup atau terselamat melihat kepada serpihan pesawat itu. -REUTERS.


Media Baharu