fb fb fb fb fb

Warga Palestin derma darah bantu mangsa gempa Turkiye, Syria

GAZA, 13 Februari - Para penduduk Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad (12 Feb) mengadakan kempen khas derma darah untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

"Kempen ini menunjukkan solidariti kami kepada rakyat Turkiye dan Syria.

"Apa yang berlaku di Turki dan Syria turut memberi kesan kepada seluruh negara Arab dan Islam," kata pengarah eksekutif Institut Al-Amal untuk Anak-anak Yatim, Iyad al-Masri yang menganjurkan kempen derma darah itu, lapor agensi berita Anadolu.

Bertemakan 'One Body' atau 'Satu Masyarakat', Iyad berkata kempen sehari itu "menghantar mesej kasih sayang dan keamanan untuk semua."

Menurut perangkaan rasmi terkini, lebih 30,000 orang terbunuh dan lebih 80,000 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turki pada Isnin lalu (6 Feb).

Gempa bumi 7.7 dan 7.6 Richter yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah di Turki dan gegarannya turut dirasai di beberapa negara di rantau itu.

Di Syria, sekurang-kurangnya 3,574 orang terbunuh manakala lebih 5,290 yang lain cedera. - BERNAMA

(Rakyat Palestin menderma darah untuk membantu mereka yang cedera dalam gempa bumi di Turkiye dan Syria, di Kota Gaza/FOTO AFP)

Media Baharu