fb fb fb fb fb

Warga India ditahan bersama 17 haiwan liar di lapangan terbang Thailand

(Semua haiwan itu ditemui dalam bakul plastik dan disembunyikan di bawah
makanan ringan sebelum dibungkus dalam bagasi/AFP)



BANGKOK, 18 Ogos- Seorang lelaki warga India ditahan di lapangan terbang di Thailand semalam selepas cubaannya untuk menyeludup 17 jenis haiwan hidup termasuk musang dan ular sawa yang disembunyikan dalam bagasi, dikesan pihak berkuasa.

Menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand, Abilash Annaduri, 21, ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok selepas dikesan cuba membawa 17 haiwan daripada enam spesies ke Chennai.

Katanya, ia membabitkan musang padang pasir putih, seekor rakun, dua iguana, sepasang ular sawa putih, tiga biawak dan lapan ekor monyet marmoset.

Semua haiwan itu ditemui dalam bakul plastik dan disembunyikan di bawah makanan ringan sebelum dibungkus dalam bagasi.

Namun tindakannya itu dapat dihidu pihak berkuasa selepas dia melalui mesin imbasan X-ray di lapangan terbang itu.

Pengarah bahagian di Jabatan Pemuliharaan, Prasert Sonsatapornkul, berkata semua haiwan yang cuba diseludup itu dianggarkan bernilai 98,000 baht (RM 12,333).

"Pihak berkuasa Thai berjaya menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup haiwan ke India.

(Jabatan Pemuliharaan berkata semua haiwan yang cuba diseludup itu dianggarkan
bernilai 98,000 baht (RM 12,333)/AFP)


"Kami turut mengesan berlakunya peningkatan penyeludupan ke India sejak kebelakangan ini,"katanya.

Thailand menjadi hab transit utama bagi penyeludupan hidupan liar bagi pasaran di China dan Vietnam.

Pada masa sama, Prasert berkata, suspek yang kini ditahan polis bagi soal siasat akan didakwa dengan kesalahan menyeludup hidupan liar.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana semua haiwan itu boleh dibawa masuk ke Thailand sebelum ia cuba diseludup keluar.

"Kami tidak menemui mikrocip pada haiwan ini jadi kami tidak tahu dari mana asalnya," katanya.

Beliau berkata, semua haiwan yang diselamatkan dihantar untuk pemeriksaan kesihatan. -AFP

Media Baharu