fb fb fb fb fb

Malaysia berhasrat belajar dari Thailand guna ganja untuk perubatan

(Menurut Thailand, dasar ganja negara itu meliputi tujuan perubatan dan kesihatan, namun bukan
bagi penggunaan rekreasi, walaupun undang-undang yang dikuatkuasakan secara tergesa-gesa itu
mewujudkan ruang bagi tujuan berkenaan/REUTERS)

BANGKOK, 18 Ogos- Malaysia berhasrat untuk belajar daripada Thailand berhubung dasar penggunaan ganja dalam usahanya untuk membenarkan penggunaan dadah itu bagi tujuan perubatan.

Berdasarkan sumber pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), Malaysia kini sedang membangunkan rangka kerja bagi tujuan itu.

"Kami sedang membangunkan rangka kerja kami sendiri untuk penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, dan ingin belajar dari Thailand," katanya yang enggan dikenali, kepada Reuters.

Hasrat itu disuarakan selepas Menteri Kesihatan Thailand menyatakan perancangannya untuk bertemu rakan sejawatnya di sini semasa mesyuarat menteri kesihatan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu depan.

Forum itu akan dimanfaatkan Thailand bagi mempamerkan usahanya dalam 'menghalalkan' ganja bagi tujuan perubatan, sekali gus menjadi komoditi ekonomi yang menguntungkan.

Thailand membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan pada 2018 untuk meredakan kesakitan dan keletihan, sekali gus menjadi negara Asia pertama yang 'menghalalkan' penanaman ganja dan penggunaannya dalam makanan serta minuman.

Penanaman dan penggunaan ganja secara rekreasi kini adalah haram di Malaysia, di mana pemilikan lebih daripada 200 gram dadah itu boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata import dan penggunaan ganja perubatan di bawah preskripsi doktor adalah dibenarkan jika ia berdaftar dan dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

(Sebuah balang berisiĀ  ganja di kedai menjual ubat di Bangkok, Thailand/REUTERS)

Pada April lalu, Khairy berkata, kerajaan mengalu-alukan kajian klinikal untuk kegunaan perubatan cannabidiol iaitu bahan kimia dalam kanabis yang tidak memberikan kesan mengkhayalkan kepada pengguna.

Bulan lalu, agensi berita BERNAMA melaporkan, KKM menyasarkan untuk mula mendaftarkan beberapa produk cannabidiol tahun depan selepas mengkaji keselamatannya, walaupun proses kelulusan untuk penanaman ganja masih panjang.

Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, selaku individu utama bertanggungjawab dalam pengesahan ganja untuk tujuan perubatan, menganggarkan industri itu boleh menjana sehingga lebih daripada AS$3 bilion (RM13 bilion) dalam tempoh lima tahun.

"Topik perbincangan adalah mengenai cara untuk bersama-sama memajukan dasar seperti ini untuk mendapatkan manfaat, dari segi ekonomi dan perubatan.

"Kami mahu semua orang mengiktiraf manfaat tumbuhan ganja ini. Semakin ramai orang berminat dalam bidang ini, lebih banyak pembangunan dan penyelidikan akan tercipta," katanya pada sidang akhbar di Bangkok.

Menurut Thailand, dasar ganja negara itu meliputi tujuan perubatan dan kesihatan, namun bukan bagi penggunaan rekreasi, walaupun undang-undang yang dikuatkuasakan secara tergesa-gesa itu mewujudkan ruang bagi tujuan berkenaan. - REUTERS

Media Baharu