SAMUT PRAKAN, 20 September- Seorang warga emas di Thailand berdepan detik cemas dan nyaris menemui ajal apabila dililit seekor ular sawa selama kira-kira dua jam di sini pada Selasa lepas.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera badan polis yang menunjukkan situasi menakutkan ketika Arrom Arunrot, 64, diselamatkan.
"Adakah ular itu di bawah kamu? Jangan bergerak dulu. Semakin banyak kamu bergerak, semakin ketat ular itu melilit," kata polis dalam nada cemas.
Dalam rakaman, Arrom yang juga seorang pekerja di hospital kanak-kanak berkata dia sedar digigit sesuatu yang awalnya disangka seekor lipas.
"Semasa saya mencuci pinggan, saya juga sedang mencangkung mengambil air. Sejurus saya duduk, ular itu menggigit saya. Pada mulanya, saya fikir itu lipas, tetapi kemudian saya lihat ia ular, dan ia mula melilit saya dengan ketat," katanya.
Ketua Pasukan Jabatan Pencegahan dan Pemadaman di Ibu Pejabat Polis Phra Samut Chedi, Anusorn Wongmali mengesahkan mereka menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu dipercayai rakan sekerja mangsa.
"Kami menendang pintu dan melihat wanita itu dililit oleh ular di atas lantai. Ia mesti sudah lama kerana tubuhnya sudah mula menjadi pucat," katanya.
Arrom kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Jabatan Kawalan Penyakit melaporkan 26 kematian akibat gigitan ular di Thailand pada tahun 2023. -Reuters