fb fb fb fb fb

Warga China ditahan bersama peranti risikan dekat pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina

Peralatan risikan yang dirampas dipamerkan semasa sidang media di Manila / AFP

MANILA, 30 April- Seorang warga China ditahan pihak berkuasa Filipina selepas didapati mengendalikan peranti risikan berhampiran pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina (Comelec), kurang dua minggu sebelum pilihan raya separuh penggal negara itu berlangsung.

Menurut jurucakap Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI), Ferdinand Lavin, suspek menggunakan peranti dikenali sebagai IMSI catcher, sejenis alat yang boleh meniru menara komunikasi telefon bimbit dan mengakses mesej atau isyarat dalam lingkungan satu hingga tiga kilometer radius.

“Tangkapan dibuat pada Selasa selepas ejen NBI mengesahkan peranti itu sedang aktif digunakan. Ini merupakan kali ketiga suspek hadir ke kawasan Comelec,” katanya kepada AFP.

Tambah beliau, suspek juga pernah berada berhampiran beberapa lokasi sensitif termasuk Mahkamah Agung Filipina, Jabatan Kehakiman dan Kedutaan Amerika Syarikat.

Suspek memiliki pasport yang dikeluarkan Macau, wilayah autonomi yang ditadbir China. Seorang pemandu tempatan yang diupah untuk operasi itu tidak ditahan selepas memberi kerjasama.

Pihak Kedutaan China di Manila dan Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas.

Tangkapan itu berlaku selepas dua lagi warga China ditahan pada Februari lalu kerana menggunakan peranti serupa di kawasan berhampiran lokasi kerajaan dan ketenteraan di ibu negara.

Dalam perkembangan berkaitan, bulan ini China mendakwa telah memusnahkan rangkaian risikan yang didakwa dikendalikan agensi perisikan Filipina serta menahan tiga rakyat negara itu. Namun Majlis Keselamatan Negara Filipina (NSC) menolak dakwaan tersebut, menyatakan bahawa ‘pengakuan’ yang disiarkan media rasmi China kelihatan seperti “lakonan skrip” dan bahawa agensi yang disebut tidak wujud.

Ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat berikutan pertikaian wilayah di Laut China Selatan serta hubungan keselamatan Filipina yang semakin erat dengan Amerika Syarikat.

Minggu lalu, Timbalan Pengarah NSC, Jonathan Malaya, memaklumkan kepada sidang Senat bahawa China disyaki terlibat dalam serangan siber bertujuan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Namun dakwaan tersebut disangkal sekeras-kerasnya oleh Kedutaan China.

Pilihan raya pada 12 Mei nanti bakal menentukan ratusan kerusi di Dewan Perwakilan dan Senat Filipina serta ribuan jawatan di peringkat tempatan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE