fb fb fb fb fb

Mahkamah Agung Kemboja tolak rayuan jaminan 5 aktivis alam sekitar

Aktivis alam sekitar Kemboja, Thun Ratha (tengah) diiringi pegawai polis keluar dari pekarangan Mahkamah Agung di Phnom Penh / AFP

PHNOM PENH, 30 April- Mahkamah Agung Kemboja hari ini menolak permohonan jaminan lima aktivis alam sekitar dari kumpulan Mother Nature, yang kini sedang menjalani hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun selepas disabitkan dengan tuduhan merancang untuk menggugat keselamatan negara.

Tindakan mahkamah itu mengundang reaksi kecewa daripada keluarga dan pencinta alam sekitar, termasuk badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan kes berkenaan bermotifkan politik.

“Ia sangat tidak adil. Mereka yang mempertahankan alam sekitar dipenjara, sedangkan yang merosakkan sumber semula jadi hidup bebas,” kata Path Raksmey, isteri kepada salah seorang aktivis, Thun Ratha, kepada AFP.

Menurut Raksmey, walaupun suaminya kekal tabah, keputusan mahkamah jelas menafikan keadilan kepada kelima-lima mereka. Kelima-lima aktivis berkenaan kini dipenjarakan di lokasi berbeza sejak mereka dijatuhi hukuman pada Julai tahun lalu dan sedang dalam proses rayuan.

Tahun lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB melahirkan kebimbangan serius terhadap sabitan dan hukuman berat yang dikenakan, menyifatkannya sebagai satu bentuk penindasan terhadap aktivisme alam sekitar di Kemboja.

Kemboja kini berdepan kritikan berterusan atas pengurusan sumber alam yang lemah dan eksploitasi hutan secara haram. Dalam tempoh 2002 hingga 2023, negara itu kehilangan hampir satu pertiga hutan hujan primer, kawasan yang amat penting kepada biodiversiti global dan simpanan karbon dunia.

Desember lalu, wartawan tempatan Chhoeung Chheung ditembak mati ketika menjalankan siasatan berkaitan aktiviti pembalakan haram di kawasan barat laut Kemboja.

Dalam perkembangan terbaharu, kerajaan Kemboja dilaporkan meluluskan pembinaan kilang simen di kawasan perlindungan hidupan liar, menurut dokumen rasmi yang diperoleh AFP.-AFP

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE