BEIJING, 30 April- Tiga angkasawan China dari misi Shenzhou-19 selamat kembali ke bumi pada Rabu selepas enam bulan menjalankan tugasan di Stesen Angkasa Tiangong, lapor media rasmi negara itu.
Kapsul pendaratan yang membawa Komander Cai Xuzhe, Song Lingdong dan Wang Haoze mendarat dengan selamat di kawasan utara Mongolia Dalam pada pukul 1.27 tengah hari waktu tempatan.
Ketiga-tiga angkasawan tersebut berlepas ke stesen angkasa itu pada Oktober tahun lalu dan telah menjalankan pelbagai eksperimen saintifik termasuk aktiviti luar angkasa ('spacewalk') yang mencatat rekod tempoh terpanjang pernah dicapai oleh angkasawan China.
Mereka digantikan oleh kru baharu menerusi misi Shenzhou-20 yang dilancarkan minggu lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen China untuk mengekalkan kehadiran berterusan di orbit.
China sebelum ini menyatakan hasrat untuk melancarkan misi angkasa berawak ke bulan menjelang tahun 2030, termasuk rancangan jangka panjang untuk membina pangkalan tetap di permukaan bulan.- AFP