fb fb fb fb fb

Wanita tertua dunia meninggal dunia pada usia 116 tahun

Tomiko Itooka sempat meraikan hari lahirnya yang ke-116 tahun/Foto Longeviquest

TOKYO, 4 Januari – Tomiko Itooka, wanita tertua di dunia, telah meninggal dunia pada usia 116 tahun di sebuah rumah penjagaan di Ashiya, Jepun, pada 29 Disember lalu.

Dilahirkan pada 23 Mei 1908 di Osaka, Itooka hidup menyaksikan pelbagai peristiwa besar seperti perang dunia dan pandemik, serta kemajuan teknologi.

Beliau diiktiraf sebagai individu tertua di dunia selepas kematian warga Sepanyol, Maria Branyas Morera, pada Ogos 2024 yang berusia 117 tahun.

Datuk Bandar Ashiya, Ryosuke Takashima, berkata kehidupan Itooka yang disifatkan panjang umur itu memberi inspirasi kepada orang ramai.

"Itooka memberi kita keberanian dan harapan sepanjang hidupnya. Kami berterima kasih atas segala jasanya," katanya.

Sepanjang hidupnya, ketika usia muda beliau gemar bermain bola tampar dan makan buah pisang.

Jepun terkenal dengan kadar jangka hayat yang tinggi, namun kini menghadapi krisis demografi apabila populasi warga tua semakin meningkat, menyebabkan kos perubatan dan kebajikan melonjak, manakala tenaga kerja semakin mengecil.

Setakat September 2024, Jepun mencatat lebih 95,000 individu berusia 100 tahun ke atas, dengan 88 peratus daripadanya adalah wanita.

Hampir sepertiga daripada 124 juta penduduk Jepun kini berusia 65 tahun ke atas. -

GRACE AISYAH KEDAYAN